Sunday 11 June 2017



Sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria, angin, biojisim dan tenaga hidro boleh mencapai hampir 80% permintaan bekalan tenaga dunia pada tahun 2050 jika pemimpin dunia merangka polisi untuk memanfaatkan potensi mereka. Demikian menurut satu laporan yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Hasil kajian ini merupakan usaha bersama seramai 120 penyelidik daripada Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC). Mereka juga mengatakan bahawa sekiranya hala tuju tenaga yang boleh diperbaharui dipatuhi sepenuhnya, maka pelepasan gas rumah hijau akan berkurangan. Ini menyebabkan suhu dunia tidak naik melepasi paras 2 darjah selsius pada tahun 2050.


2 darjah selsius ini merupakan paras yang sekiranya suhu dunia naik melepasi suhu ini, maka kesan terburuk perubahan iklim akan berlaku. Pemimpin dunia juga telah bersetuju dalam perbincangan tahun lalu di Cancun, Mexico untuk mengehadkan purata kenaikan suhu dunia dalam angka tersebut. Laporan kajian tersebut diumumkan selepas perbincangan 4 hari yang berakhir pada minggu lalu di Abu Dhabi, United Arab Emirates. Laporan ini bertujuan untuk memberikan maklumat kepada pembuat dasar dan penilaian terkini terhadap potensi sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Christiana Figueres, yang merupakan Setiausaha Eksekutif kepada UNFCCC, menggambarkan laporan tersebut mempunyai signifikan dan menunjukkan hala tuju kepada para pemimpin dunia. ‘Mereka mesti mencapai matlamat mereka dengan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui dalam skala yang besar,’ ujar beliau. ‘Adalah penting juga bahawa dasar negara yang bercita-cita tinggi dan kerjasama antarabangsa yang kukuh kerana semua ini merupakan kunci utama kepada penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui secara meluas di semua dunia.

Figueres juga menekankan bahawa keperluan untuk kewangan dan teknologi yang mencukupi harus dibekalkan kepada negara-negara yang lebih mundur, yang akan mengalami pertumbuhan paling pesat dalam pengeluaran tenaga dalam masa yang akan datang. ‘Negara-negara maju perlu menghasilkan satu dasar yang bersesuaian dan memberikan insentif supaya penggunaan dan pemasangan teknologi tenaga bersih boleh berkembang dengan pesat,’ tambah beliau lagi. Laporan tersebut juga menghasilkan satu ulasan yang mengandungi 160 keadaan saintifik yang berbeza berdasarkan tahap-tahap yang berlainan dalam sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui, keadaan alam sekitar yang berbeza dan juga faktor sosial.

Kesatuan Eropah akan  memilih 30 bandaraya sebagai perintis kepada sistem grid elektrik "pintar" dan tebatan kalis-ruang (space -proven insulation) dalam usaha untuk menerajui persaingan global ke arah teknologi hijau.




Projek tersebut menjangkakan sejumlah 25 hingga 30 "bandaraya pintar" iaitu bandaraya yang dilitupi oleh sistem grid elektrik "pintar" dan tebatan kalis ruang serta mampu mengumpal tenaga daripada matahari, angin dan bahan buangannya sendiri. Tenaga yang dikumpulkan akan disalurkan terus kepada kereta, trem dan bas yang menggunakan kuasa elektrik di bandaraya pintar tersebut. Ini dapat menjimatkan kos kehidupan masyarakat .

PELARASAN harga petrol, diesel dan petroleum gas cecair (LPG) pada Jumaat lalu mungkin membuatkan ramai mengeluh. Kalau dulu meter di pam minyak menunjukkan antara RM60 dan RM70 paling tinggi untuk pengisian penuh, namun kini ia sudah mencecah melebihi RM100 bagi kenderaan 1.6 liter ke atas. Bagaimana kalau menukar kenderaan hibrid? Ya, harganya mungkin masih mahal dan menjadi cabaran kepada pengeluar kenderaan untuk memastikannya berada di paras harga mampu milik antara RM50,000 dan RM80,000, agaknya sedikit rasional.


Apatah lagi, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, berkata pemegang francais kereta hibrid diberi pengecualian duti import 100 peratus dan duti eksais 50 peratus ke atas kereta hibrid siap pasang (CBU) baru. Malah, dalam Bajet 2009 yang dibentangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pun sudah memberikan pengecualian sama supaya pemegang francais berpeluang memasangnya dalam negara.

Berbanding sebelum ini, kenderaan hibrid dikenakan cukai import 260 peratus dan duti eksais antara 60 hingga 105 peratus bagi kereta dari negara Asean dan bukan Asean selain ditambah cukai jualan 10 peratus. Bermakna, tiada lagi alasan yang perlu diberikan pengeluar kereta untuk menghasilkan kenderaan hibrid rakyat mampu milik memandangkan ia teknologi baru yang mengurangkan penggunaan petrol itu.

Di pasaran, terdapat kenderaan hibrid yang dikeluarkan ketika ini adalah dijana gabungan petrol dan elektrik, malah ada juga mengusahakan dua kereta hibrid diesel-elektrik. Ia bukan teknologi baru kerana sudah digunakan dalam beberapa jenis kenderaan seperti lokomotif kereta api yang dijana oleh kuasa elektrik dan diesel selain bas hibrid diesel-elektrik yang mendapatkan bekalan elektrik menerusi wayar. Kapal selam juga adalah kenderaan jenis hibrid kerana dijana oleh gabungan tenaga nuklear dan elektrik atau diesel-elektrik.

Kaedahnya mudah, bagi kereta biasa, pembakaran petrol membekalkan tenaga kepada enjin seterusnya menggerakkan transmisi untuk memusing tayar sementara kereta elektrik pula dilengkapi set bateri yang menyalurkan tenaga elektrik kepada motor elektrik sebelum menggerakkan transmisi. Mudah faham, kereta hibrid adalah gabungan kedua-duanya. Ia akan dijana oleh petrol ketika di awal pergerakan dan apabila sudah mencapai tahap kelajuan tertentu, penjanaan akan diambil alih secara automatik oleh kuasa elektrik yang dibekalkan bateri yang dimuatkan dalam enjin.


Bezaya, enjin kereta hibrid bersaiz lebih kecil dan menggunakan teknologi tinggi dengan motor elektrik yang digunakan juga adalah lebih sofistikated kerana ia turut berfungsi sebagai pengecas bateri apabila kenderaan bergerak. Selain kuasa petrol-elektrik, sistem Sel Bahan Api yang disaksikan menerusi model Chevrolet Equinox menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar yang diasingkan daripada air membolehkan air yang mengandungi hidrogen dan oksigen diasingkan sebelum disalurkan ke kebuk pembakaran.

Penguasaan teknologi nuklear adalah penting untuk kita menyaingi negara-negara yang maju dan boleh mengelakkan kita terus ditindas oleh negara-negara yang berkuasa besar. Penguasaan nuklear juga menjimatkan penggunaan elektrik di seluruh negara. Ini yang dimahukan oleh kerajaan yang kini kehabisan wang. Tenaga nuklear adalah pengganti kepada sumber tenaga mentah seperti empangan hidroelektrik yang mempunyai kos tinggi dan menghancurkan alam sekitar, jadi jika kita menggunakan tenaga nuklear kita telah menyelamatkan beribu-ribu pokok dan sungai yang menjadi zon penampan kepada kawasan tadahan air dan menyuburkan hutan sekitar.


UKM memiliki Jabatan Sains Nuklear, yang menawarkan program sains nuklear di peringkat sarjana muda hingga Doktor Falsafah. Manakala UPM ada memawarkan program yang berkaitan pengunaan teknik-teknik nuklear di beberapa fakultinya. Di peringkat pengajian lebih tinggi (MSc dan PhD), universiti-universiti berkenaan ada menawarkan penyelidikan berkaitan teknik nuklear ataupun menggunakan teknik nuklear, yang diaplikasi kepada bidang alam sekitar, perubatan, pertanian atau industri, dan juga penyelidikan fundemental. Kebanyakan penyelidikan untuk ijazah MSc dan PhD dilakukan secara kolobratif dengan Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT) atau hospital atau pusat penyelidikan lain.

Dengan tinjauan rambang ini boleh dibuat kesimpulan bahawa, IPTA di Malaysia tiada menyediakan program-program yang menjurus kepada penyediaan tenaga manusia, tenaga mahir dan ahli teknologi dalam bidang Teknologi Nuklear. Walaupun tiada data dimiliki penulis, namun dipercayai bahawa pakar-pakar dalam bidang Teknologi Nuklear di Malaysia adalah mendapat latihan dan didikan di luar negara. Hal ini bukanlah suatu yang baik dari sudut perancangan strategik masa depan Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi.

Selain isu ketiadaan penawaran program Teknologi Nuklear, isu berkaitan calon atau pelajar yang akan mengikuti program tersebut juga perlu di pertimbangkan. Penawaran program atas dasar ‘strategik’ sahaja bukanlah sesuatu yang baik sama ada kepada pelajar atau pun universiti, kerana ia membabitkan kos kewangan, insan dan kemudahan universiti. Graduan yang dihasilkan haruslah dapat berperanan dalam bidangnya, jika tidak keadaan yang dihadapi Amerika Syarikat berkaitan penurunan bilangan calon yang menjurus dalam bidang Teknologi Nuklear akan dihadapi (Wogman et al., 2005).

Dari segi polisi politik, Malaysia memang menentang pembangunan dan penggunaan senjata nuklear. Penjanaan tenaga untuk domestik dan industri melalui loji tenaga nuklear sebagai sumber tenaga alternatif yang lestari juga tidak menjadi agenda yang dibincang di peringkat umum di negara kita ini. Lantaran itu sokongan dan keinginan politik terhadap pendidikan teknologi nuklear di IPTA tempatan seolah-olah tidak wujud sejak hampir 30 tahun selepas penubuhan PUSPATI (kini dikenali sebagai MINT). Semua ini telah mendorong beberapa generasi pelajar beranggapan bahawa teknologi nuklear bukanlah bidang yang mampu menjamin kerjaya masa depan yang cerah. Mungkin ini benar dan masih relevan sehingga beberapa tahun yang lalu.

Berbagai peristiwa yang terjadi akhir-akhir ini, seperti globalisasi, kenaikan harga petrolium, peningkatan penggunaan teknik nuklear dalam berbagai bidang strategik seperti kesihatan, pertanian, ketenteraan dan penyelidikan berprestasi tinggi telah mengubah senario. Permintaan guna tenaga pakar dalam bidang teknologi nuklear dijangka akan diperlukan, setidak-tidaknya bagi mengekal dan membekal keupayaan genting (critical capabalities) agar boleh berdaya saing. Kuasai nuklear, kuasai ekonomi, kuasai Amerika dan menyebabkan Israel gerun.

Pelabelan Kecekapan Tenaga merupakan suatu alat penting untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran pengguna mengenai penggunaan tenaga bagi alat elektrik di rumah. Label kecekapan tenaga dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga kepada pengilang alat elektrik untuk dan mempromosikan alat eletrik cekap tenaga dalam pasaran. Pengilang perlu mematuhi piawaian dan syarat ujian prestasi tenaga yang diwujudkan oleh Suruhanjaya Tenaga untuk kadaran bintang ini sebelum kelulusan diberikan untuk setiap model yang di keluarkan.

Label kecekapan tenaga ini memberi maklumat kepada pengguna tentang penggunaan tenaga bagi setiap peralatan elektrik. Label kadaran tenaga atau energy rating label menunjukkan anggaran penggunaan tenaga bagi setiap peralatan elektrik berdasarkan sistem kadaran kecekapan tenaga. Kadaran 1 hingga 5 ditunjukkan dalam label bermakna 1-bintang adalah yang paling kurang cekap dan 5-bintang adalah yang paling cekap.

Label ini mengandungi anggaran jumlah penggunaan tenaga tahunan dalam kilowatt-jam bagi setiap alat elektrik, berdasarkan keputusan ujian makmal yang diiktiraf. Maklumat yang disediakan akan membantu pengguna untuk memilih model yang paling cekap tenaga semasa membuat pembelian peralatan elektrik. Penggunaan peralatan elektrik 5-Bintang akan mengurangkan penggunaan elektrik dan bil elektrik di rumah. Ini secara langsung akan menghasilkan pendapatan isi rumah boleh guna atau disposable household income yang lebih tinggi terutamanya dalam jangka masa yang panjang yang akan meningkatkan kualiti kehidupan.


Alat eletrik yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga bagi Kadaran Bintang kecekapan tenaga ialah peti sejuk, penyaman udara, televisyen dan kipas yang digunakan di rumah.


Bermula 1 Jun 2011, kadar purata elektrik untuk pengguna domestik akan meningkat sebanyak 4.52%.Pengguna domestik yang mengguna di antara 1 hingga 300 kWh sebulan tidak akan terjejas dengan tarif baru. Mereka masih menikmati kadar subsidi 21.8 sen/kWh. Kadar elektrik ini tidak bertukar sejak 1997. Ini merangkumi kesemua 200,000 isi rumah miskin di Malaysia.

Rumah yang berkecekapan tenaga adalah salah satu cara bagi mengurangkan perbelanjaan bil elektrik anda. Ianya adalah salah satu cara yang paling mudah bagi mengurangkan kesan penggunaan elektrik berlebihan terhadap alam sekitar.
Penjimatan tenaga dan mesra alam adalah istilah yang biasa kita dengar kebelakangan ini. Kesedaran untuk beralih kepada penggunaan alatan jimat elektrik adalah sederhana, namun menunjukkan perkembangan yang baik. Contoh yang paling mudah ialah penggunaan lampu elektrik. Semakin banyak pengguna bertukar kepada lampu kalimantang berbanding lampu biasa. 

Ini mungkin disebabkan rekabentuk yang lebih ekonomi dan lebih menawarkan nilai kepada pengguna. Lampu kalimantang mungkin kelihatan sama dengan lampu biasa namun teknologi disebalik lampu jenis ini menyebabkan ia amat berbeza. Lampu kalimantang pada hari ini mula mendapat sambutan disebabkan oleh kecekapan tenaga, tahan lama, banyak pilihan, mesra alam dan tidak berkelip.


TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI

Tenaga dapat diperbaharui adalah tenaga yang berasal dari sumber daya alam seperti sinar matahari, angin, hujan, pasang surut , dan panas bumi, diperbaharui (alami dicas semula). Pada tahun 2008, sekitar 19% dari pengambilan tenaga global berasal dari tenaga boleh diperbaharui akhir, dengan 13% berasal dari tradisional Biojisim, yang terutama digunakan untuk pemanasan, dan 3.2% dari pembangkit elektrik tenaga air. baru diperbaharui (hidro kecil, Biojisim moden, angin, suria, panas bumi, dan biofuel) berjumlah 2.7% lagi dan berkembang sangat pesat.

Malaysia telah lama melaksanakan Feed- In- Tariff (FIT) sebagai satu cara untuk mengalakkan penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui sama ada daripada sumber-sumber seperti solar, hidro, biogas/ tapak pelupusan atau biomas/ sisa pepejal. Feed- In- Tariff (FIT) dibayar setiap kilowatt per jam bagi setiap tenaga elektrik yang dijana oleh sumber yang boleh diperbaharui. Setakat ini, FIT merupakan mekanisme yang paling berjaya untuk merangsang pembangunan pesat tenaga yang boleh diperbaharui.



Sejak tahun 1991, Jerman, Sepanyol, Denmark dan lebih 40 negara lain telah mempelopori dasar-dasar dan undang-undang yang dikenali sebagai FIT ini di mana telah terbukti dalam usaha untuk menggalakkan pertumbuhan yang terpantas, termurah dan paling luas bagi tenaga yang boleh diperbaharui. FIT yang dikenali untuk pengeluar tenaga yang boleh diperbaharui atau untuk meningkatkan pengeluaran tenaga yang boleh diperbaharui, kedua- kedua individu dan perniagaan akan menikmati manfaat daripadanya.


FIT bermaksud peluang untuk menambahkan pendapatan. Industi RE menganggarkan penjanaan sekurang- kurangnya RM70bil untuk sektor swasta dan ini akan diterjemahkan kepada cukai pendapatan sebanyak sekurang- kurangnya RM1.76 bil untuk kerajaan pada tahun 2020. Bagi syarikat- syarikat utiliti,TNB seperti di Malaysia, ini mempunyai portfolio yang lebih rendah untuk kos penjanaan elektrik dengan menggunakan sumber tenaga bebas untuk jangka masa panjang. 

Tenaga yang boleh diperbaharui hari ini kurang daripada 1% daripada penjanaan kuasa di Malaysia. Arang batu sebanyak 40% manakala gas adalah sebanyak 55%. Ini menjadi sumber aspirasi kerajaan Malaysia untuk mempunyai tenaga yang boleh diperbaharui sekurang- kurangnya 5.5% daripada tenaga keseluruhan menjelang tahun 2011 dan 11% pada tahun 2020. Penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui akan mengurangkan kerosakan alam sekitar daripada aktiviti cari gali dan perlombongan bahan api fosil seperti minyak, arang batu dan gas asli.

Pelaksaan FIT dijangka akan mewujudkan rangsangan ketara dalam ekonomi domestik, menyokong kemampanan alam sekitar dan menggalakkan kesesuaian dalam mencapai 'grid parity' untuk kerajaan. Pungutan cukai sebanyak 1% akan dikenakan ke atas pelanggan- pelanggan TNB yang menggunakan 300 kwh atau RM77 sebulan bagi tujuan pembiayaan FIT.



KEJADIAN gempa bumi disusuli tsunami yang melanda Jepun awal tahun ini bukan saja meranapkan harta, malah nyawa rakyatnya. Bencana alam itu turut menjejaskan loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi di Minamisoma, antara loji nuklear penjana sumber tenaga elektrik di negara Matahari Terbit itu.



Peristiwa ini sudah pasti membuka mata negara luar yang mempunyai hasrat untuk membina loji tenaga nuklear sebagai satu sumber tenaga alternatif. Kesan dan akibat daripada kejadian itu membuktikan ada kalanya manusia tidak akan mampu melawan kehendak alam. Tidak salah untuk mengkaji mahupun mencuba sesuatu yang baru tetapi biar apa yang ingin kita lakukan itu tidak merosakkan alam semula jadi agar ia tidak menyusahkan kita di kemudian hari. Tenaga nuklear bukan satu-satunya sumber tenaga yang boleh dijadikan penjana elektrik, malah banyak lagi sumber lain yang masih belum digunakan sepenuhnya. 


Sumber tenaga diperbaharui (RE), umpamanya adalah antara sumber tenaga baru yang kian mendapat sambutan dan digunakan secara meluas terutama oleh negara membangun seperti Britain. Sejak ia mula diperkenalkan di negara ini usaha untuk mengembangkannya giat dilakukan. RE ialah satu sumber tenaga baru dan tahap kesedaran terhadap kemampuannya untuk berkembang kian diberi perhatian terutama pihak industri pengeluaran mahupun pertanian. Ia adalah sumber tenaga kelima dalam campuran sumber tenaga negara yang terdiri daripada minyak, gas, arang batu dan hidro. 

Tanggal 11 Mei 2001 melakarkan sejarah tersendiri Malaysia apabila Program Jana kuasa Kecil Tenaga Yang Boleh Diperbaharui (SREP) dilancarkan sebagai tanda komitmen untuk memperkasakan pembangunan RE. Program terbabit ialah inisiatif Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang bertujuan mempromosikan penggunaan meluas sumber tenaga yang boleh diperbaharui di negara ini, khususnya untuk penjanaan tenaga. Menerusi program ini, jana kuasa yang menggunakan sumber RE boleh membuat permohonan untuk menjual elektrik kepada utiliti melalui Sistem Grid Pengagihan. Program ini membenarkan semua jenis tenaga RE seperti biomass, biogas, ‘municipal waste’, solar, hidro mini dan angin untuk dibangunkan. 

Pembangunan RE juga adalah sebahagian sasaran untuk menjadikan negara ini bebas daripada karbon dioksida menjelang 2020 dan sejajar itu, insentif turut diberikan untuk menarik minat pelabur luar berkongsi kepakaran mengembangkan industri RE di negara ini. Biodome Asia Sdn Bhd sebuah anak syarikat Kirk Enviromental yang berpangkalan di United Kingdom (UK) mengorak langkah membuat pelaburan di negara ini dengan memperkenalkan kepakaran dalam bidang biogas. Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang mengurus dan memperkembangkan penggunaan tenaga RE mula menerokai pasaran negara ini. 

Pengarah Operasi Biodome Asia, Matthew Dickinson, berkata tenaga diperbaharui ialah sumber tenaga yang kian berkembang di Britain tetapi baru di negara ini. Setakat ini terdapat lebih daripada dua kilang sawit yang menggunakan sisa buangan mereka selama 15 tahun menjana kuasa elektrik untuk kegunaan sendiri. “Industri RE mula mendapat perhatian di kalangan pengusaha kilang dan pasarannya menjadi kian meluas, apatah lagi apabila syarikat yang membangunkan tenaga terbabit dapat menjual kembali hasil tenaga kepada pembekal utama tenaga elektrik di negara ini iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), “katanya. Bertindak selaku perunding, Biodome Asia lebih menekankan faedah yang diperoleh syarikat yang berminat untuk membuat pelaburan, antaranya pendapatan yang boleh dijana hasil daripada jualan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

Di samping itu, syarikat yang terbabit juga bakal menikmati sendiri tenaga elektrik yang dihasilkan, sekali gus mewujudkan suasana hijau kerana teknologi ini mengurangkan pencemaran persekitaran. “Pemilik kilang perlu diberi kesedaran mengenai faedah yang boleh mereka peroleh daripada menghumban sisa buangan kilang ke sungai kerana sisa buangan terbabit boleh ditukar menjadi sumber tenaga yang pasti dapat mengurangkan belanja bil elektrik syarikat berkenaan. Di samping memperoleh pendapatan dengan menjual kembali sumber tenaga kepada TNB, kilang juga tidak perlu memperuntukkan dana untuk membeli semula tenaga yang mereka perlukan,” katanya. 

Biodome Asia adalah satu-satunya syarikat yang memiliki kepakaran dan peralatan yang bakal dibangunkan untuk membina loji biogas yang memberi tumpuan kepada penggunaan sisa buangan sebagai sumber baru tenaga. Ia meliputi bidang reka bentuk kejuruteraan, pengeluaran, pembinaan dan pengurusan projek yang dikendalikan pakar perunding untuk setiap satu kawasan. Biodome Asia menawarkan perkhidmatan bermula daripada pembinaan loji hingga siap sepenuhnya. Kaedah yang diperkenalkan ialah dengan menghasilkan gas dari hampas biji sawit untuk dijadikan tenaga elektrik. “Peranan kami ialah membantu pihak kilang memahami keuntungan yang boleh diraih dengan melakukan pelaburan berbanding jika mereka hanya menjual tempurung kelapa sawit yang boleh dijual pada harga RM160 satu tan, sedangkan faedah yang mereka peroleh jika melabur sedikit untuk membina loji biogas membolehkan mereka menjana tenaga elektrik sendiri dan mengaut keuntungan daripadanya,” katanya.



Dalam jangka panjang, industri tenaga perlu mencari pilihan lain sebagai ganti bahan api fosil yang kian susut. Di Malaysia, kerajaan mengorak langkah untuk melakukan kajian semula terhadap industri tenaga secara holistik dengan tujuan menjadikan industri itu lebih mampan, boleh diharap dan cekap. Satu daripada bidang yang sentiasa dipertimbang pada masa lalu dan juga kini ialah usaha meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Stesen kuasa hidro, tenaga suria dan angin semuanya berfungsi dengan kadar pelepasan  Karbon Dioksida hampir sifar, dan bukan sahaja akan menolong meringankan masalah bekalan bahan api, tetapi juga mengurangkan masalah perubahan iklim. Akan tetapi, pilihan-pilihan ini tidaklah begitu boleh diharapkan dan berdaya maju disebabkan kos pengeluaran tenaga elektrik jauh lebih mahal daripada menggunakan bahan api fosil.

Sistem tarif galakan (FiT) yang diperkenalkan dan mengenakan 1 peratus tarif atas penggunaan melebihi 300 kWh, untuk membiayai usaha pembangunan tenaga boleh diperbaharui yang diuruskan Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) di bawah KeTTHA, mencapai kejayaan besar terutama bagi fotovolta suria, tetapi itu memerlukan subsidi berupa 1 peratus levi atau lebih. Antara sumber tenaga boleh diperbaharui yang terdapat di Malaysia ketika ini ialah kuasa hidro, tenaga suria, biojisim daripada sekam padi, sisa minyak sawit (bahan api bio), dan sisa bandaran.

Di bawah skim FiT, pelanggan dikehendaki membayar premium bagi tenaga bersih yang dijanakan kepada penjana kuasa tenaga boleh diperbaharui untuk bilangan tahun yang tetap, dengan bayaran bagi setiap jam kilowatt (kWh) kuasa elektrik yang dijanakan, dan bayaran minimum terjamin bagi setiap kWh disalurkan kepada grid. Banyak syarikat tempatan telah pun memanfaatkan teknologi tenaga boleh diperbaharui untuk mula mengurangkan kos tenaga dan menikmati hasil pendapatan.

Projek tenaga boleh diperbaharui biojisim yang pertama menggunakan tandan kosong sebagai bahan api telah dimulakan oleh TSH Bio Energy Sdn. Bhd. dan syarikat itu menjual tenaga elektrik kepada TNB dengan kadar 21.25 sen/kwh. Teknologi fotovolta suria untuk menjana tenaga elektrik daripada matahari telah memungkinkan pemilik rumah menjana elektrik untuk kegunaan sendiri dan menjual kepada grid kebangsaan.

Tidakkah hebat jika difikirkan bahawa modal untuk memasang panel fotovolta di atas bumbung rumah anda akan memberi tenaga elektrik percuma ditambah pula dengan peluang untuk menjual lebihan kuasa balik kepada grid kebangsaan selama sekurang-kurangnya 21 tahun dan sebelum masa itu anda telah pun mendapat pulangan modal dan memperoleh keuntungan yang lumayan?

Ini ialah sumber tenaga alternatif yang boleh kita fikirkan untuk masa hadapan. Akan tetapi, semua sumber itu secara sendirinya tidak berdaya maju dan memerlukan subsidi untuk memastikan daya maju dari segi kewangan. Oleh kerana itu, negara mempunyai hanya satu lagi sumber tenaga yang lebih murah - bahan api fosil. Bagaimanapun, kita masih boleh menyelamatkan bumi, dengan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik, dan menginsafi bahawa tenaga elektrik murah perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.


PEMIMPIN DUNIA PERLU KOMITED UNTUK JAYAKAN SUMBER TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI Sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria...