Elektrik merupakan sumber tenaga utama yang digunakan di rumah. Anda seharusnya terus menikmati manfaat daripada peralatan elektrik dengan tidak menggunakan lebih banyak tenaga daripada yang sepatutnya. Penggunaan tenaga elektrik secara cekap dapat menjimatkan wang serta dapat membantu memelihara alam sekitar.
Adakah anda inginkan bil elektrik yang rendah dan menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar? Anda akan dapat mengurangkan sehingga 10% penggunaan elektrik tanpa menjejaskan tahap keselesaan hidup anda.
APAKAH KECEKAPAN TENAGA?
Kecekapan tenaga(elektrik) bermakna anda menggunakan tenaga elektrik yangminima untuk menyempurnakan kerja yang sama di rumah atau di tempat kerja. Ini juga bermakna anda akan dapat mengurangkan perbelanjaan untuk penggunaan elektrik di samping menikmati kemudahan yang sama.
Kecekapan tenaga (elektrik) bermakna kita menggunakan tenaga elektrik yang minima untuk menyempurnakan kerja yang sama di rumah. Ini juga bermakna kita akan dapat mengurangkan perbelanjaan untuk penggunaan elektrik di samping menikmati kemudahan yang sama.Kecekapan tenaga juga merujuk kepada penggunaan tenaga yang cermat, berhemat dan bijaksana. Sebagai pengguna, amalan kecekapan tenaga boleh mengurangkan perbelanjaan, menjimatkan kos sara hidup dan mengelakkan pembaziran.
Suruhanjaya Tenaga (ST) merupakan badan yang bertanggungjawab dalam membangunkan dan mengawal selia program pelabelan cekap tenaga. Program pelabelan cekap tenaga ini bertujuan untuk mengalakkan industri untuk menghasilkan barang elektrik yang menjimatkan tenaga. Selain itu, sesebuah syarikat barang elektrik juga mempunyai kelebihan dari segi persaingan kerana barang mereka mempunyai label yang menunjukkan bahawa ia boleh menjimatkan tenaga elektrik.
MENGAPAKAH ANDA PERLU MENGGUNAKAN SUMBER TENAGA DENGAN CEKAP?
1. Untuk mengurangkan penggunaan bahan api fosil (gas dan arang batu) yang:
bekalannya semakin susut
kos yang semakin tinggi
menghasilkan gas-gas berbahaya yang boleh membawa kesan
buruk kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.
2. Untuk memelihara alam sekitar yang merupakan satu-satunya warisan kita untuk generasi
akan datang;
3. Untuk mengurangkan perbelanjaan isirumah.
Setakat ini label tersebut boleh didapati pada barang elektrik tertentu seperti peti sejuk, pendingin hawa, televisyen dan kipas angin. Pengguna boleh membuat pilihan dengan melihat kepada taraf bintang pada barang elektrik tersebut. Label ini juga boleh membantu pengguna membuat perbandingan antara satu barang dengan barang yang lain. Pengiraan kecekapan penggunaan tenaga bagi peti sejuk ditentukan melalui kaedah ujian yang diiktiraf dan disokong oleh Suruhanjaya Tenaga.
Proses pengujian tersebut dijalankan oleh pihak SIRIM. Sekiranya pengujian tersebut lulus, maka Suruhanjaya Tenaga akan memberi pengiktirafan label kecekapan tenaga berdasarkan taraf 1 hingga 5 bintang. Standard adalah satu panduan yang mengariskan ciri-ciri keselamatan dan kualiti bagi sesuatu barang dan perkhidmatan.
Di Malaysia, satu jawatankuasa teknikal Performance of Household and Similar Electrical Appliances telah ditubuhkan bertujuan membangunkan standard berkaitan dengan kecekapan tenaga. Standard ini bertujuan menghasilkan barangan elektrik bagi kegunaan isi rumah yang cekap tenaga. Dokumen MS (Malaysian Standard) yang sedang dibangunkan ini akan membantu industri dan pengeluar untuk mematuhi ciri-ciri dan kriteria tertentu yang ditetapkan.
MEMAHAMI KEPENTINGAN KECEKAPAN TENAGA
1. Memahami Kecekapan Tenaga
Kecekapan tenaga adalah satu tindakan yang menggunakan tenaga yang sedikit untuk menyempurnakan tugas yang sama. Contohnya, di rumah dan bangunan-bangunan komersial. Ia bermakna, dengan hanya menggunakan tenaga yang sedikit untuk memanaskan, menyejuk dan penggunaan tenaga lampu dalam bangunan. Ia juga boleh melibatkan penggunaan peralatan cekap tenaga yang menggunakan tenaga yang sedikit.
Penggunaan tenaga yang sedikit juga boleh digunakan di kilang-kilang dan sektor pembuatan dalam mengeluarkan produk dalam kuantiti yang sama. Ia boleh dicapai dengan menggunakan motor yang lebih cekap tenaga, sistem ”Drive”, sistem udara mampat yang kecekapannya tinggi dan peralatan industri yang lain.
2. Mengapa Kecekapan Tenaga penting?
Penggunaan tenaga secara cekap akan menunjukkan kadar penjimatan tenaga dan wang yang kurang dibelanjakan untuk tenaga itu. Penjimatan itu boleh diterjemahkan ke dalam bil-bil tenaga / elektrik yang lebih rendah.
Faedah keseluruhan kecekapan tenaga ialah:
A. Kos
Pengurangan kos tenaga akan membawa kepada kos pengurusan operasi yang sedikit dan akan meningkatkan keuntungan yang tinggi.
Kesan positif ke atas produktiviti dan daya saing.
B. Perlindungan alam sekitar
Pengurangan pengeluaran karbon yang menyumbang kepada pemanasan global.
Pengurangan pencemaran udara dan persekitaran yang lebih bersih.
Kecekapan tenaga adalah salah satu cara yang paling berpotensi untuk mengurangkan GHG dalam jangka masa pendek
C. Keselamatan bekalan
Kurang loji jana kuasa, penghantaran dan menaik taraf sistem pengagihan dan pembinaan.
membendung pertumbuhan permintaan tenaga global atau tempatan dan meningkatkan keselamatan bekalan.
Kurang penggunaan tenaga bermakna hanya sedikit sahaja bahan api diperlukan untuk membakar yang membawa kepada pengurangan jangka masa panjang dalam penggunaan tenaga. Ini membantu memanjangkan hayat sumber-sumber asli seperti bahan api fosil, arang batu dan gas.
3. Adakah kecekapan tenaga sama dengan penjimatan tenaga?
Penjimatan tenaga tidak semestinya diterjemahkan kepada penggunaan tenaga yang cekap. Walau bagaimanapun, kedua-dua kecekapan tenaga dan penjimatan tenaga, akan menjimatkan tenaga dan mengurangkan kos operasi.
A. Kecekapan tenaga
Ini dapat dicapai dengan aplikasi teknologi yang cekap, seperti motor yang cekap tenaga yang tinggi, lampu, dab lain-lain.
Ia melibatkan kos pelaburan dan memerlukan pakar untuk mengenal pasti teknologi yang betul. Kecekapan tenaga kebanyakannya digunakan untuk industri.
B. Penjimatan tenaga
Ini dicapai melalui penggunaan tenaga secara cekap, seperti memadamkan lampu dan peralatan elektrik apabila tidak diperlukan, menggunakan cahaya matahari dan lain-lain.
Ia tidak melibatkan kos dan memerlukan perubahan tingkah laku pengguna sahaja. Penjimatan tenaga boleh digunakan dalam semua sektor.
EKO-LABEL
Eko-label adalah suatu sistem pelabelan untuk barangan pengguna (termasuk makanan) yang dihasilkan bagi mengelakkan kesan berbahaya terhadap alam sekitar. Sistem pelabelan Eko meliputi kedua-dua makanan dan barangan pengguna.
Eko-label memudahkan pengguna untuk memilih barangan mesra alam "green products". Ini merupakan suatu skim sukarela yang diwujudkan untuk menggalakkan sektor perniagaan supaya menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang mesra alam. Label ini juga dapat membantu para pengguna untuk mengenal pasti barangan yang mesra alam. Sebagai contoh, penggunaan ekolabel dapat digunakan untuk barangan yang tidak mengandungi kluorofluorokarbon (CFC). CFC adalah gas yang merosakkan lapisan ozon. Ekolabel juga terdapat pada barangan yang boleh dikitar semula dan juga barangan yang mempunyai pengguna tenaga yang efisien serta menjimatkan tenaga.
Di Malaysia, kita memerlukan penggunaan minyak yang banyak untuk menghasilkan tenaga untuk kenderaan. Barangan pengguna di rumah yang paling banyak menggunakan tenaga adalah peti sejuk. Suruhanjaya Tenaga Malaysia telah membangunkan skim pelabelan kecekapan tenaga elektrik. Kecekapan penggunaan tenaga bagi peti sejuk contohnya disahkan dengan menggunakan kaedah ujian yang diiktiraf dan disokong oleh Suruhanjaya Tenaga. Penilaian Tenaga bertaraf 5 bintang menunjukkan penjimatan tenaga yang paling tinggi.
PENGGUNAAN TENAGA
Pertamanya, industri yang menggunakan tenaga elektrik yang banyak diberikan diskaun. Ini akan menggalakkan pembaziran kerana ia adalah lebih murah untuk membazir daripada menjadi cekap tenaga. Industri yang mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa yang sama memaksimakan pengeluaran patut diberi ganjaran, kerana penggunaan tenaga per produk telah dikurangkan. Industri-industri yang melakukan kecekapan tenaga ‘sebenar’ melalui penyelesaian kejuruteraan patut digalakkan. Penguatkuasaan faktor Kuasa (Power Factor) patut dilaksanakan dengan tunjuk ajar yang sewajarnya dengan mengalakkan penggunaan kapasitor (capacitor bank) kepada pengguna industri dan komersil.
Keduanya, pelabelan kecekapan tenaga untuk barangan elektrik dan elektronik masih kurang memuaskan. Sehingga kini, label ini hanya digunakan untuk peti sejuk bagi pengguna domestik, dan Motor Kecekapan Tinggi (High Efficiency Motors-HEM) bagi pengguna industri. Bagaimana dengan yang lain? Pelabelan dan penguatkuasaan adalah penting untuk memastikan pengguna memilih barangan yang betul untuk cekap dalam penggunaan elektrik.
Ketiganya, penggabungan sektor tenaga secara keseluruhan. Terlalu ramai agensi yang terlibat dalam industri ini. Satu agensi pusat sepatutnya berfungsi untuk sumber, penjanaan, bekalan dan harga. Agensi ini sepatutnya bekerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat supaya ia dapat berfungsi dengan berkesan serta elakkan agensi yang berfungsi sendiri (stand alone).
Keempatnya, pencarian sumber-sumber baru untuk tenaga adalah focus utama negara. Tiada halatuju yang konkrit untuk memastikan kecekapan tanaga di setiap peringkat. Sebagai contoh, adakah semua stim yang dihasilkan di loji-loji penjanaan digunakan sepenuhnya? Penggunaan sebegini memastikan kehilangan semasa proses penukaran tenaga dapat dikurangkan. Kita sepatutnya mempunyai loji-loji yang diintegrasikan supaya stim lebihan digunakan untuk proses-proses industri yang lain. Ini telahpun digunakan di kebanyakan negara beberapa tahun yang dahulu untuk memaksimumkan penggunaan sumber tenaga. Kecekapan boleh ditempatkan dalam produk melalui inovasi. Walaupun permintaan tenaga dapat dibekalkan ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi melalui pelbagai cara. Tiada seorang pun yang akan bersetuju bahawa bekalan ini adalah untuk dibazirkan. Kita tiada dapat lihat analisis kos yang wajar kerana kita membeli untuk membazir. Kami memohon pihak kerajaan mengatasi masalah kecekapan tenaga sebelum menyelesaikan masalah krisis tenaga yang dijangka.
MENINGKATKAN KECEKAPAN PENGGUNAAN TENAGA
Kenaikan harga minyak mentah akan menyebabkan subsidi terhadap petroleum dan sumber tenaga lain seperti elektrik meningkat. Adalah penting untuk setiap individu berjimat cermat dalam menggunakan sumber tenaga. Sektor swasta juga tidak boleh bergantung kepada subsidi untuk kekal kompetitif, sebaliknya perlu lebih cekap dan bijak dalam menggunakan sumber tenaga, termasuk dalam proses pengeluaran. Dengan itu, langkah akan diambil untuk menggalakkan pengguna lebih cekap dan bijak dalam menggunakan tenaga serta mengelakkan pembaziran.
Walau bagaimanapun, Kerajaan komited untuk memastikan bahawa pengguna berpendapatan rendah tidak akan menanggung beban. Kerajaan akan menerajui usaha menjimat tenaga. Saya percaya masih ada banyak ruang untuk kita menjimatkan penggunaan tenaga. Semua agensi kerajaan diberi sasaran untuk mencapai 10 peratus penjimatan penggunaan tenaga pada tahun 2006.
Amalan seperti membiarkan alat penghawa dingin berada pada suhu terlalu rendah atau membiarkan lampu terpasang apabila tiada orang di pejabat merupakan pembaziran semata-mata.Selain penjimatan penggunaan tenaga, Kerajaan bercadang untuk terus menggalakkan pelaburan di dalam peralatan yang rendah penggunaan tenaganya. Kerajaan mencadangkan agar insentif yang diberikan kepada syarikat yang menawarkan perkhidmatan penjimatan tenaga, dilanjutkan tempohnya untuk lima tahun lagi sehingga tahun 2010.
Selain itu, Kerajaan juga bercadang untuk memberikan Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus kepada modal yang dibelanjakan bagi tujuan meningkatkan penjimatan tenaga, kepada pemilik bangunan. Di samping itu, garispanduan pembinaan bangunan perlu dikemaskini agar dapat menekankan aspek kecekapan penggunaan tenaga di bangunan baru.
Anda boleh membantu dengan mengambil langkah-langkah mudah berikut:
1. Lampu
Gunakan mengikut keperluan sahaja. Matikan suis apabila meninggalkan bilik anda.
Gunakan mentol rendah tenaga seperti “compact flourescent lamp”. Pasangkan pada lampu meja /membaca anda.
Manfaatkan cahaya matahari. Aturkan meja supaya berhampiran tingkap. Bukakan langsir dan penghadang cahaya bagi menerangi bilik anda.
2. Peralatan komputer
Matikan segala peralatan komputer (PC, monitor, printer) apabila tidak digunakan. Matikan suis di plug sebelum anda meninggalkan bilik.
Dimana perlu, gunakan lap-top berbanding desktop PC kerana ia menggunakan kurang tenaga.
Manfaatkan ciri menjimat tenaga yang ada pada peralatan komputer – power save setting
3. Alat pendingin hawa
Matikan apabila tidak digunakan. Gunakan hanya apabila suhu dalam bilik semakin panas/tidak selesa.
Tingkatkan suhu kepada 20°C. Suhu di luar bilik hanya 4-5°C sahaja lebih tinggi.
Buka jaket dan pakai kemeja sahaja apabila berada dalam bilik.
4. Lain-lain peralatan elektrik – cerek, radio, pengecas bateri dsb
Gunakan peralatan ini dengan sewajarnya. Matikan suis dan cabut plug daripada soket di dinding apabila peralatan ini selesai digunakan.
PENGGUNA LESTARI 1 (MENGIRA KOS KECEKAPAN TENAGA BAGI LAMPU)
Pastikan lampu yang digunakan daripada jenis yang cekap tenaga, contohnya lampu kalimantang, atau lampu penjimat elektrik seperti lampu kalimantang mampat (CFL) bagi menggantikan lampu mentol filamen.
Gunakan kuasa lampu yang bersesuaian dengan keperluan. Untuk pencerahan yang tinggi (dalam watt), kuasa lampu juga tinggi. Ini juga menandakan penggunaan tenaga yang tinggi.
Padamkan lampu apabila tidak diperlukan. Amalan menutup suiz adalah penting.
Cuba kita buat pengiraan secara ringkas:
Jika lampu pada suis yang menyala sepanjang hari. Kuasa lampu ini adalah kecil iaitu sebanyak 1 Watt.
Jika kita biarkan perkakas atau suis dalam keadaan sedia(stand-by mode):
Penggunaan elektrik:
*1 Watt x 24 jam x 365 hari = 8760 Wjam
=8.76 kWjam
*1kWjam adalah satu unit tenaga yang digunakan dan dikesan oleh meter elektrik. Oleh itu,
harga seunit elektrik terendah adalah RM0.218.
*Jumlah penggunaan untuk satu lampu kecil adalah:
8.76 kWjam x RM 0.218 = RM 1.91
Jika lampu dibiarkan menyala:
Jika dinyalakan 10 lampu kecil (pada perkakas) dan 3 lampu mentol biasa 24 jam setahun.Kos setahun adalah = RM 362.90
Jika dinyalakan 10 lampu kecil (pada perkakas) dan 3 lampu CFL 24 jam setahun.Kos setahun adalah = RM 122.24
Jika lampu digunakan dalam tempoh 8 jam sehari -dengan cekap, iaitu bila perlu sahaja.
Jika dinyalakan 10 lampu kecil (pada perkakas) dan 3 lampu mentol biasa 8 jam setahun.Kos setahun adalah = RM130.97
Jika dinyalakan 10 lampu kecil (pada perkakas) dan 3 lampu CFL 8 jam setahun.Kos setahun adalah = RM 40.75
Ini jelas menunjukkan kecekapan penggunaan tenaga dapat menjimatkan kos harian pengguna.
PENGGUNA LESTARI 2 ( MENGIRA KOS KECEKAPAN TENAGA PENDINGIN HAWA)
Pastikan penyaman udara dipasang jauh daripada pancaran terus matahari.
Pastikan keupayaan pendingin hawa (kuasa kudanya) bersesuaian dengan saiz ruang bilik berkenaan .
Periksa dan selaraskan termostat bagi mencapai suhu keselesaan. Kebiasaan ialah 25 Degree Celcius- 26 Degree Celcius.
Pastikan penapis udara adalah lebih bersih bagi mengoptimumkan pengoperasian.
Pastikan gelung sirip luar dibersihkan dua kali setahun.
Periksa tahap bahan penyejuk (sekali setahun)
Pastikan gelung dalam dibersihkan setahun sekali
Buat kiraan sendiri untuk memastikan dakwaan jurujual adalah betul. Jangan tertipu dengan dakwaan kecekapan tenaga secara membuta tuli. Sehingga kini tiada label kecekapan tenaga untuk pendingin hawa di Malaysia
*Jika 1 pendingin hawa dengan 1 kuasa kuda(horsepower) menggunakan 1200 Watts tenaga elektrik untuk operasi. Manakala pendingin hawa 20% cekap tenaga menggunakan 960 Watts tenaga elektrik untuk operasi, kaedah pengiraan luas kecekapan tenaga seperti berikut:
Bil tahunan adalah :
Biasa =1.2 kW x 365 hari x 7 jam x RM 0.25 (kadar per kWj) = RM 766.50
Cekap Tenaga =0.96 kW x 365 hari x 7 jam x RM 0.25 (kadar per kWj)=Rm 613.20
Pengiraan ringkas ini menunjukkan setiap tahun kita dapat menjimat sebanyak RM153.30 dalam bil elektrik dalam bil elektrik, jika menggunakan pendingin hawa yang cekap tenaga.
PENGGUNA LESTARI 3 ( MENGIRA KOS KECEKAPAN TENAGA MESIN BASUH)
Pembaziran tenaga elektrik dan air akan berlaku apabila membasuh pakaian hanya separuh muatan. Umpamanya mencuci hanya sepasang seluar ataupun beberapa helai baju kemeja. Kumpulkan pakaian basuhan sehingga penuh mesin kerana penggunaan tenaga elektriknya hampir sama.
Memilh jenis mesin basuh
Pilih mesin basuh yang saiznya bersesuaian dengan keperluan keluarga
Mesin basuh automatik jenis muatan depan menggunakan tenaga yang kurang berbanding dengan mesin automatik jenis muatan asas.
Bandingkan harga semasa membeli mesin basuh
Panduan menggunakan mesin basuh
Basuh dengan muatan penuh. Mesin basuh yang penuh muatannya akan menggunakan elektrik yang sama dengan basuhan yang separuh muatannya.
Elakkan daripada menggunakan mesin basuh yang terlebih beban. Ini boleh menyebabkan mesin basuh mudah rosak dan akan menggunakan tenaga yang lebih untuk beroperasi.
Pilih kitaran cucian yang sesuai untuk jenis cucian.
semasa beroperasi, elakkan daripada menambah muatan, perbuatan ini bukan sahaja berbahaya, tetapi boleh menyebabkan kerosakan mesin basuh.
Contoh pengiraan kos kecekapan mesin basuh:
*Dalam masa setahun penjimatan yang dapat dibuat oleh seorang pengguna mesin basuh adalah = RM 8.40
*Jika terdapat 500,000 pengguna mesin basuh ini, jumlah penjimatan adalah = RM 4,200,000.00
*Jumalah tenaga yang tidak terbazir adalah (kWj) = 19,266,055 kWj.
*Jika purata pengguna menggunakan kurang daripada 200 unit tenaga sebulan, iaitu bil bulanan kurang daripada RM 43.60, bilangan pengguna yang dapat menikmati tenaga ini adalah = 96,330 buah rumah untuk sebulan.
No comments:
Post a Comment