PELARASAN harga petrol, diesel dan petroleum gas cecair
(LPG) pada Jumaat lalu mungkin membuatkan ramai mengeluh. Kalau dulu meter di
pam minyak menunjukkan antara RM60 dan RM70 paling tinggi untuk pengisian
penuh, namun kini ia sudah mencecah melebihi RM100 bagi kenderaan 1.6 liter ke
atas. Bagaimana kalau menukar kenderaan hibrid? Ya, harganya mungkin masih
mahal dan menjadi cabaran kepada pengeluar kenderaan untuk memastikannya berada
di paras harga mampu milik antara RM50,000 dan RM80,000, agaknya sedikit
rasional.
Apatah lagi, pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, berkata pemegang
francais kereta hibrid diberi pengecualian duti import 100 peratus dan duti
eksais 50 peratus ke atas kereta hibrid siap pasang (CBU) baru. Malah, dalam
Bajet 2009 yang dibentangkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi pun sudah memberikan pengecualian sama supaya pemegang francais
berpeluang memasangnya dalam negara.
Berbanding sebelum ini, kenderaan hibrid dikenakan cukai
import 260 peratus dan duti eksais antara 60 hingga 105 peratus bagi kereta
dari negara Asean dan bukan Asean selain ditambah cukai jualan 10 peratus.
Bermakna, tiada lagi alasan yang perlu diberikan pengeluar kereta untuk
menghasilkan kenderaan hibrid rakyat mampu milik memandangkan ia teknologi baru
yang mengurangkan penggunaan petrol itu.
Di pasaran, terdapat kenderaan hibrid yang dikeluarkan
ketika ini adalah dijana gabungan petrol dan elektrik, malah ada juga
mengusahakan dua kereta hibrid diesel-elektrik. Ia bukan teknologi baru kerana
sudah digunakan dalam beberapa jenis kenderaan seperti lokomotif kereta api
yang dijana oleh kuasa elektrik dan diesel selain bas hibrid diesel-elektrik
yang mendapatkan bekalan elektrik menerusi wayar. Kapal selam juga adalah
kenderaan jenis hibrid kerana dijana oleh gabungan tenaga nuklear dan elektrik
atau diesel-elektrik.
Kaedahnya mudah, bagi kereta biasa, pembakaran petrol
membekalkan tenaga kepada enjin seterusnya menggerakkan transmisi untuk
memusing tayar sementara kereta elektrik pula dilengkapi set bateri yang menyalurkan
tenaga elektrik kepada motor elektrik sebelum menggerakkan transmisi. Mudah
faham, kereta hibrid adalah gabungan kedua-duanya. Ia akan dijana oleh petrol
ketika di awal pergerakan dan apabila sudah mencapai tahap kelajuan tertentu,
penjanaan akan diambil alih secara automatik oleh kuasa elektrik yang
dibekalkan bateri yang dimuatkan dalam enjin.
Bezaya, enjin kereta hibrid bersaiz lebih kecil dan
menggunakan teknologi tinggi dengan motor elektrik yang digunakan juga adalah
lebih sofistikated kerana ia turut berfungsi sebagai pengecas bateri apabila
kenderaan bergerak. Selain kuasa petrol-elektrik, sistem Sel Bahan Api yang
disaksikan menerusi model Chevrolet Equinox menggunakan hidrogen sebagai bahan
bakar yang diasingkan daripada air membolehkan air yang mengandungi hidrogen
dan oksigen diasingkan sebelum disalurkan ke kebuk pembakaran.
No comments:
Post a Comment