Sunday 11 June 2017



Sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria, angin, biojisim dan tenaga hidro boleh mencapai hampir 80% permintaan bekalan tenaga dunia pada tahun 2050 jika pemimpin dunia merangka polisi untuk memanfaatkan potensi mereka. Demikian menurut satu laporan yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Hasil kajian ini merupakan usaha bersama seramai 120 penyelidik daripada Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan (IPCC). Mereka juga mengatakan bahawa sekiranya hala tuju tenaga yang boleh diperbaharui dipatuhi sepenuhnya, maka pelepasan gas rumah hijau akan berkurangan. Ini menyebabkan suhu dunia tidak naik melepasi paras 2 darjah selsius pada tahun 2050.


2 darjah selsius ini merupakan paras yang sekiranya suhu dunia naik melepasi suhu ini, maka kesan terburuk perubahan iklim akan berlaku. Pemimpin dunia juga telah bersetuju dalam perbincangan tahun lalu di Cancun, Mexico untuk mengehadkan purata kenaikan suhu dunia dalam angka tersebut. Laporan kajian tersebut diumumkan selepas perbincangan 4 hari yang berakhir pada minggu lalu di Abu Dhabi, United Arab Emirates. Laporan ini bertujuan untuk memberikan maklumat kepada pembuat dasar dan penilaian terkini terhadap potensi sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui.

Christiana Figueres, yang merupakan Setiausaha Eksekutif kepada UNFCCC, menggambarkan laporan tersebut mempunyai signifikan dan menunjukkan hala tuju kepada para pemimpin dunia. ‘Mereka mesti mencapai matlamat mereka dengan menggunakan sepenuhnya sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui dalam skala yang besar,’ ujar beliau. ‘Adalah penting juga bahawa dasar negara yang bercita-cita tinggi dan kerjasama antarabangsa yang kukuh kerana semua ini merupakan kunci utama kepada penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui secara meluas di semua dunia.

Figueres juga menekankan bahawa keperluan untuk kewangan dan teknologi yang mencukupi harus dibekalkan kepada negara-negara yang lebih mundur, yang akan mengalami pertumbuhan paling pesat dalam pengeluaran tenaga dalam masa yang akan datang. ‘Negara-negara maju perlu menghasilkan satu dasar yang bersesuaian dan memberikan insentif supaya penggunaan dan pemasangan teknologi tenaga bersih boleh berkembang dengan pesat,’ tambah beliau lagi. Laporan tersebut juga menghasilkan satu ulasan yang mengandungi 160 keadaan saintifik yang berbeza berdasarkan tahap-tahap yang berlainan dalam sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui, keadaan alam sekitar yang berbeza dan juga faktor sosial.

No comments:

Post a Comment

PEMIMPIN DUNIA PERLU KOMITED UNTUK JAYAKAN SUMBER TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI Sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria...