Sunday 11 June 2017


KEJADIAN gempa bumi disusuli tsunami yang melanda Jepun awal tahun ini bukan saja meranapkan harta, malah nyawa rakyatnya. Bencana alam itu turut menjejaskan loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi di Minamisoma, antara loji nuklear penjana sumber tenaga elektrik di negara Matahari Terbit itu.



Peristiwa ini sudah pasti membuka mata negara luar yang mempunyai hasrat untuk membina loji tenaga nuklear sebagai satu sumber tenaga alternatif. Kesan dan akibat daripada kejadian itu membuktikan ada kalanya manusia tidak akan mampu melawan kehendak alam. Tidak salah untuk mengkaji mahupun mencuba sesuatu yang baru tetapi biar apa yang ingin kita lakukan itu tidak merosakkan alam semula jadi agar ia tidak menyusahkan kita di kemudian hari. Tenaga nuklear bukan satu-satunya sumber tenaga yang boleh dijadikan penjana elektrik, malah banyak lagi sumber lain yang masih belum digunakan sepenuhnya. 


Sumber tenaga diperbaharui (RE), umpamanya adalah antara sumber tenaga baru yang kian mendapat sambutan dan digunakan secara meluas terutama oleh negara membangun seperti Britain. Sejak ia mula diperkenalkan di negara ini usaha untuk mengembangkannya giat dilakukan. RE ialah satu sumber tenaga baru dan tahap kesedaran terhadap kemampuannya untuk berkembang kian diberi perhatian terutama pihak industri pengeluaran mahupun pertanian. Ia adalah sumber tenaga kelima dalam campuran sumber tenaga negara yang terdiri daripada minyak, gas, arang batu dan hidro. 

Tanggal 11 Mei 2001 melakarkan sejarah tersendiri Malaysia apabila Program Jana kuasa Kecil Tenaga Yang Boleh Diperbaharui (SREP) dilancarkan sebagai tanda komitmen untuk memperkasakan pembangunan RE. Program terbabit ialah inisiatif Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang bertujuan mempromosikan penggunaan meluas sumber tenaga yang boleh diperbaharui di negara ini, khususnya untuk penjanaan tenaga. Menerusi program ini, jana kuasa yang menggunakan sumber RE boleh membuat permohonan untuk menjual elektrik kepada utiliti melalui Sistem Grid Pengagihan. Program ini membenarkan semua jenis tenaga RE seperti biomass, biogas, ‘municipal waste’, solar, hidro mini dan angin untuk dibangunkan. 

Pembangunan RE juga adalah sebahagian sasaran untuk menjadikan negara ini bebas daripada karbon dioksida menjelang 2020 dan sejajar itu, insentif turut diberikan untuk menarik minat pelabur luar berkongsi kepakaran mengembangkan industri RE di negara ini. Biodome Asia Sdn Bhd sebuah anak syarikat Kirk Enviromental yang berpangkalan di United Kingdom (UK) mengorak langkah membuat pelaburan di negara ini dengan memperkenalkan kepakaran dalam bidang biogas. Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang mengurus dan memperkembangkan penggunaan tenaga RE mula menerokai pasaran negara ini. 

Pengarah Operasi Biodome Asia, Matthew Dickinson, berkata tenaga diperbaharui ialah sumber tenaga yang kian berkembang di Britain tetapi baru di negara ini. Setakat ini terdapat lebih daripada dua kilang sawit yang menggunakan sisa buangan mereka selama 15 tahun menjana kuasa elektrik untuk kegunaan sendiri. “Industri RE mula mendapat perhatian di kalangan pengusaha kilang dan pasarannya menjadi kian meluas, apatah lagi apabila syarikat yang membangunkan tenaga terbabit dapat menjual kembali hasil tenaga kepada pembekal utama tenaga elektrik di negara ini iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), “katanya. Bertindak selaku perunding, Biodome Asia lebih menekankan faedah yang diperoleh syarikat yang berminat untuk membuat pelaburan, antaranya pendapatan yang boleh dijana hasil daripada jualan elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

Di samping itu, syarikat yang terbabit juga bakal menikmati sendiri tenaga elektrik yang dihasilkan, sekali gus mewujudkan suasana hijau kerana teknologi ini mengurangkan pencemaran persekitaran. “Pemilik kilang perlu diberi kesedaran mengenai faedah yang boleh mereka peroleh daripada menghumban sisa buangan kilang ke sungai kerana sisa buangan terbabit boleh ditukar menjadi sumber tenaga yang pasti dapat mengurangkan belanja bil elektrik syarikat berkenaan. Di samping memperoleh pendapatan dengan menjual kembali sumber tenaga kepada TNB, kilang juga tidak perlu memperuntukkan dana untuk membeli semula tenaga yang mereka perlukan,” katanya. 

Biodome Asia adalah satu-satunya syarikat yang memiliki kepakaran dan peralatan yang bakal dibangunkan untuk membina loji biogas yang memberi tumpuan kepada penggunaan sisa buangan sebagai sumber baru tenaga. Ia meliputi bidang reka bentuk kejuruteraan, pengeluaran, pembinaan dan pengurusan projek yang dikendalikan pakar perunding untuk setiap satu kawasan. Biodome Asia menawarkan perkhidmatan bermula daripada pembinaan loji hingga siap sepenuhnya. Kaedah yang diperkenalkan ialah dengan menghasilkan gas dari hampas biji sawit untuk dijadikan tenaga elektrik. “Peranan kami ialah membantu pihak kilang memahami keuntungan yang boleh diraih dengan melakukan pelaburan berbanding jika mereka hanya menjual tempurung kelapa sawit yang boleh dijual pada harga RM160 satu tan, sedangkan faedah yang mereka peroleh jika melabur sedikit untuk membina loji biogas membolehkan mereka menjana tenaga elektrik sendiri dan mengaut keuntungan daripadanya,” katanya.


No comments:

Post a Comment

PEMIMPIN DUNIA PERLU KOMITED UNTUK JAYAKAN SUMBER TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI Sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga suria...