Perubahan dalam gaya hidup dapat membantu pengguna
mengimbangi kenaikan kos sara hidup harian yang naik mendadak sejak
kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi dengan kenaikan tinggi harga bahan api yang
diumumkan kerajaan baru-baru ini. Bagaimanapun, perubahan ini lebih mudah
dilaksanakan dengan bantuan teknologi. "Kebanyakan daripada kita tidak
dapat berubah kerana kita selesa dengan tabiat harian. Meskipun begitu, sudah
sampai masanya untuk kita memulakan langkah bagi mengubah kepada sesuatu yang
lebih baik. "Ini akan memberikan impak jangka masa panjang dalam menangani
kos harian serta perubahan kepada cara hidup lestari," demikian menurut
Piarapakaran Subramaniam, Pengurus Bahagian Alam Sekitar, Gabungan
Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA).
Satu daripada perubahan gaya hidup yang amat perlu diamalkan
sekarang ialah penjimatan tenaga. "Apabila kita mengurangkan bil bahan api
atau elektrik, kita sebenarnya telah memainkan peranan untuk membantu
memelihara bumi. "Dalam satu abad ini banyak berlaku pencairan ais di
kutub, peningkatan suhu purata bumi yang mendadak dan kenaikan aras laut,"
jelas Piarapakaran. Kebanyakan rumah dan pejabat, tambahnya masih menggunakan
tenaga daripada stesen janakuasa berasaskan karbon (seperti diesel dan gas asli)
yang melepaskan banyak gas karbon dioksida (gas rumah hijau).
Menurut Piarapakaran, antara yang perlu diberi perhatian
oleh masyarakat pengguna negara ini ialah pembelian produk "cekap
tenaga" yang bukan sahaja mesra alam bahkan tahan lama. "Kecekapan
tenaga dicapai apabila produk dengan kapasiti kerja yang sama menggunakan
tenaga yang rendah untuk operasi. Ini adalah satu langkah yang kecil tetapi
besar maknanya untuk perubahan kepada cara hidup kita," tambahnya. Ada
pengguna yang mempunyai persepsi yang salah mengenai penggunaan produk kecil.
Jelasnya, produk kecil seperti lampu floresen bukan sahaja jimat tenaga malah
mengurangkan pelepasan karbon. "Ada di antara barangan ini yang bukan
sahaja cekap tenaga tetapi juga mempunyai jangka hayat operasi yang lebih lama
berbanding produk biasa. Ini membantu mengurangkan permintaan bahan mentah bagi
sektor pembuatan.
No comments:
Post a Comment